Sunday, July 31, 2011

Jenazah Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, Selamat Dikebumikan

Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, yang juga Seniman Negara 1995 meninggal dunia kira-kira 10 malam Sabtu di kediamannya di Kampung Sungai Pusu, Gombak di Kuala Lumpur. Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Hamidah Mohd Noor dan dua orang anak. Jenazah dikebumikan sebelum Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

KUALA LUMPUR: Jenazah Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, yang meninggal dunia malam Sabtu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini, pada 11.30 pagi Ahad.

Syed Ahmad, yang menerima anugerah Hadiah Seni Negara pada 1995 dan pelbagai hadiah lain sepanjang penglibatan beliau dalam seni visual, meninggal dunia di kediamannya di Gombak kira-kira pukul 10 malam.

Beliau meninggalkan isteri Datin Halimah Mohd Noor, 69, dan dua anak lelaki iaitu Syed Nurlhaq, 35, dan Syed Nabil, 39.

Ketika ditemui pemberita, Halimah berharap usaha Allahyarham suaminya untuk menaikkan martabat seni negara dapat diteruskan pelbagai pihak.

"Arwah telah mengutarakan banyak cadangan kepada kerajaan serta pihak lain dalam usaha ikhlas arwah naikkan martabat seni negara... harap cadangan ini dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata seni yang dihasilkan Allahyarham sepanjang hidupnya juga diharap menjadi pemangkin bagi generasi muda di negara ini untuk terus berkarya demi membawa seni ke tahap tertinggi.

Anak bongsu Allahyarham, Syed Nurlhaq pula berkata bapanya meninggal dunia akibat sakit tua.

Sementara itu, Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara Datuk Mohd Yusof Ahmad yang turut menziarahi jenazah Allahyarham berkata pemergian Syed Ahmad merupakan satu kehilangan besar dalam bidang seni lukis di negara ini.

"Arwah merupakan seorang seniman prolifik dalam seni lukis di negara ini, beliau pergi meninggalkan satu legasi dan hasil karya beliau amat diminati dan dicari-cari pegumpul seni lukis di dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata kali terakhir Allahyarham bekerjasama dengan Balai Seni Lukis Negara ialah dua tahun lepas untuk menjayakan pameran retrospektif yang mempamerkan lukisan dengan susunan perjalanan seni beliau.

Mohd Yusof berkata Balai Seni Lukis Negara amat berbangga menyimpan karya Syed Ahmad dan menganggapnya satu amanah bagi memastikan karya Allahyarham dapat dinikmati generasi akan datang.

Pensyarah UiTM Profesor Madya Jailani Hassan pula berkata Allahyarham merupakan 'bapa' kepada semua penggiat seni lukis muda di negara ini.

"Arwah amat mengambil berat tentang generasi kami... arwah ini penyambung antara penggiat seni lukis generasi terdahulu dengan generasi kita sekarang, arwah adalah mentor saya dan mentor generasi sekarang," katanya yang bertemu Syed Ahmad buat kali terakhir pada tiga hari lepas.

Rakan karib Allahyarham, Raja Ahmad Aminullah berkata kali terakhir mereka berjumpa ialah pada minggu lepas, dan seperti biasa, beliau dan Syed Ahmad berbincang isu mengenai seni budaya di negara ini.

"Arwah merupakan seorang yang begitu ghairah dalam hal berkaitan seni di negara ini, arwah selalu memberi pandangan yang mampu memberi manafaat kepada masyarakat, arwah juga seorang yang sanggup bersama susah dan senang dengan kawannya," katanya yang juga Pengarah Galeri RA Fine Arts. - BERNAMA

Saturday, July 30, 2011

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz Meninggal Dunia

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Katanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. - Bernama

Monday, July 18, 2011

JALAN MENUJU KE TEMPAT PERSEMADIAN TERAKHIR (video)

Al Fatihah untuk Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

JANAZAH DR LO' LO' SELAMAT DISEMADIKAN

Jenazah ahli parlimen PAS Titiwangsa, Allahyarhamah Dr Lo Lo' Mohd Ghazali selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat di ibu negara kira-kira jam 11.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memimpin solat jenazah bersama-sama ribuan jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil.

Hadir sama naib presiden PAS Salahuddin Ayub, Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Yusof.

Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.13 malam semalam di hospital Selayang di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

Berita kematian allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitternya atas nama keluarga.

Beliau dalam keadaan kritikal akibat penyakit barah paru-paru sejak akhir Julai 2009.

Allahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Ahli parlimen itu meninggalkan seorang suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan.

Lebih 2,000 orang ramai termasuk penyokong PAS dan penduduk parlimen Titiwangsa mengunjungi dan mengiringi beliau ke tanah perkuburan, yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan.

Sebelum itu, dewan solat Masjid Al-Akram sesak dengan orang ramai yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo' Lo'.

Dr Lo' Lo' aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang ditemui, menyifatkan pemergian Dr Lo' Lo' sebagai satu kehilangan yang amat besar.

Menurut mereka, khidmat beliau yang belum selesai, khususnya berkaitan perjuangan membela penduduk Kampung Baru yang ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya dalam pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.

Ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof sebak atas kehilangan rakan seperjuangannya, itu yang juga bekas pemimpin Dewan Muslimat PAS pusat.

Beliau berkata antara pesanan terakhir Dr Lo' Lo' khususnya kepada Dewan Muslimat PAS supaya meneruskan perjuangan demi melaksanakan tuntutan Islam.

"Beliau menasihatkan supaya kami banyak bersabar, tabah dan jangan patah semangat dalam perjuangan, khususnya mempertahankan maruah Kampung Baru," katanya bergenangan air mata.

Katanya, penduduk di parlimen Titiwangsa amat bertuah kerana wakil rakyat mereka itu memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar pula berkata Dr Lo' Lo' adalah seorang pemimpin dan tokoh wanita yang berprinsip dan berani menyuarakan pandangan dalam memperjuangkan hak rakyat.

"Kesan perjuangannya amat besar di parlimen Titiwangsa dan keberanian arwah memperjuang serta menyelesaikan masalah rakyat.

"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada PAS, Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat di negara kita,"

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata penduduk Titiwangsa bukan sahaja kehilangan seorang tokoh wanita yang hebat, malah PAS dan beliau sendiri kehilangan sahabat yang banyak memberi motivasi kepada rakan-rakannya yang lain.

"Sifatnya sebagai seorang ibu yang memberi leteran, tetapi leteran itu merupakan satu motivasi kepada kami bekerja lebih kuat dan terus bekerja untuk rakyat Malaysia.

"Beliau seorang yang sangat gigih dan (selalu) turun padang memberi khidmat kepada penduduk Titiwangsa dan kehilangannya sukar dicari ganti," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata wakil rakyat PAS dan Pakatan akan mengagihkan tugas untuk meneruskan tugas Allahyarhamah di parlimen Titiwangsa walaupun pilihan raya kecil tidak diadakan kerana tempoh parlimen sudah melebihi tiga tahun.

Sementara itu, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata beliau bersama dengan ahli parlimen Pakatan akan bersama-sama meneruskan perjuangan Dr Lo' Lo'.

Beliau juga berharap keluarganya bersabar, tabah dan redha dengan ujian Allah dan berharap amalan Allahyarhamah diterima Allah dan dosanya diampuni.

Sebelum itu, sewaktu talkin sedang dibacakan, suasana tenang dan sunyi, disusuli awan menutupi matahari sebanyak dua kali, menjadikan suasana redup di tengah-tengah belaian angin sepoi-sepoi bahasa.

AL FATIHAH UNTUK DR LO' LO'

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini.

Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily.

Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.

Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.

"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily.

Tuesday, July 12, 2011

KEPULANGAN WIRA RAKYAT -BERSIH 2 - TUAN GURU PRESIDEN PAS

Ketibaan Tuan Guru Presiden Parti Islam Se Malaysia PAS di Lapangan Terbang Sultan Mahmud K Terengganu pada 11/07/2011 - 8.50 malam















Terima kasih Buletin Online

Monday, July 11, 2011

Saturday, July 02, 2011

a samad said - PELUDAH WARNA

PELUDAH WARNA

Kuasa gusar kini menggelegak murka;

warna kuning diisytihar racun terbisa.

Diragutnya baju-T segeram tenaga

dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,

menjadikannya panji terindah dan tulen

Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu

kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas

dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.

Memanglah mereka kini peludah warna

sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,

kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. SAMAD SAID