Tuesday, February 21, 2012

MINUMAN SODA DAN IMPLIKASI KESIHATAN MANUSIA

NEW YORK 20 Feb. - Minuman soda diet mungkin menjadi kepentingan kepada sesetengah individu yang mengutamakan penjagaan bentuk badan, namun tanpa disedari ia boleh membawa risiko serangan jantung dan angin ahmar.
Menurut kajian diketuai Hannah Gardener dari Sekolah Perubatan Miller, Universiti Miami, golongan dewasa yang minum soda diet setiap hari menghadapi risiko sebanyak 44 peratus lebih tinggi untuk menghidap sakit jantung.
Ia jauh lebih tinggi berbanding sebanyak 22 peratus bagi mereka yang tidak atau jarang mengambil minuman tersebut.
Garderner dan kumpulannya menjalankan kajian terhadap 2,564 orang dewasa di New York yang berusia 69 tahun ke atas.
Kajian itu merumuskan seramai 591 lelaki dan wanita akan menghidap sakit jantung, angin ahmar atau meninggal dunia akibat faktor kardiovaskular dalam tempoh beberapa dekad termasuk 31 peratus daripada 163 orang yang minum soda diet setiap hari dari tarikh kajian dimulakan.
Ditanya apakah soda diet menjadi punca kepada penyakit tersebut, Gardener menjelaskan pihaknya masih belum dapat memastikannya.
"Saya tidak rasa masyarakat perlu mengubah tabiat pemakanan mereka berdasarkan kajian ini kerana ia masih belum jelas dan kajian perlu diteruskan bagi mencari jawapan yang tepat," ujarnya. - REUTERS

Sunday, February 12, 2012

Najib Dan Thaipusam

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya Perdana Menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

JATUH DALAM BILIK AIR

Selalu kita dengar berita orang jatuh dalam bilik air dan meninggal..tahukah anda apa penyebabnya???



Strok, sawan dan salur darah pecah antara risiko bahaya akibat tersembam

Usah pandang remeh pening, loya muntah selepas jatuh
LAPORAN kematian akibat terjatuh dalam bilik air, khususnya membabitkan warga emas, termasuk wanita bukanlah asing. Ada yang mengaitkan kejadian itu dengan faktor usia lanjut manakala tidak kurang yang mengaitkannya sebagai takdir.

Itu sudah pasti, tetapi apakah kita akan membiarkan insiden yang boleh dielak atau lebih dipandang remeh, begitu saja tanpa menyelami apa sebenarnya punca kematian? Malah, apakah benar warga tua saja yang berisiko maut akibat terjatuh?

Hakikatnya, insiden terjatuh baik dalam bilik air atau di lokasi mana pun yang berlaku secara tiba-tiba boleh menimpa sesiapa saja, tanpa mengira usia. Dan kejadian terjatuh yang membawa kematian sudah pasti dikaitkan dengan satu punca yang dikenal pasti menjadi penyebab maut termasuk mempunyai penyakit kronik.

Lebih menghairankan, ada pula kes yang mana mangsa kelihatan sihat selepas terjatuh tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian. Mengapa berlaku sedemikian?

Pakar Bedah Otak dan Saraf KPJ Ampang Puteri, Dr Abdul Muin Ishak, menjelaskan keadaan seperti terjatuh di dalam bilik air seharusnya tidak dijadikan alasan kerana jatuh di mana-mana pun boleh mengakibatkan kematian. Apa yang penting ialah mengetahui punca sebenar dan kesan yang dialami selepas itu.
“Jika terjatuh disebabkan oleh punca yang jelas seperti bilik air licin, terlanggar bendul, terpijak kulit pisang dan sebagainya, pasti tiada soalan untuk dipertikaikan. Dan jika mengalami kecederaan, boleh segera dapatkan rawatan doktor.

“Tetapi, apa yang membimbangkan ialah jatuh secara tiba-tiba tanpa diketahui punca yang jelas. Jika seseorang jatuh tiba-tiba, pengsan sebentar dan tidak berupaya mengingati apa yang berlaku ke atasnya, dia seharusnya mendapatkan pemeriksaan lanjutan kerana khuatir ada pendarahan dalaman terutama bahagian kepala jika terhentak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di KPJ Ampang Puteri, baru-baru ini.

Katanya, mereka yang jatuh secara tiba-tiba boleh berpunca sama ada menghidap sawan atau tidak, angin ahmar peringkat sederhana (mild stroke) atau pun salur darah dalam otak pecah secara tiba-tiba.

“Sawan boleh berlaku dalam pelbagai jenis bukan saja yang mengeluarkan buih daripada mulut. Ada sesetengahnya yang mengalami pengsan sekejap-sekejap sejak dari kecil dan kadang-kadang ada yang sampai memorinya kosong secara tiba-tiba walau pun sebentar saja.

“Selain itu penyakit angin ahmar. Sebenarnya ramai yang mengatakan angin ahmar terjadi disebabkan oleh terjatuh secara tiba-tiba.

“Tanggapan itu salah kerana pesakit biasanya menghidap penyakit angin ahmar terlebih dulu tanpa disedari terutama kepada penghidap kencing manis dan darah tinggi disebabkan oleh 80 peratus salur darah tersumbat di dalam otak,” katanya yang memberi peringatan kepada semua supaya tidak mengambil ringan mengenai masalah ini.

Ujarnya lagi, bagi kes salur darah dalam otak pecah pula, ia boleh berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan. Kes seperti ini banyak berlaku kepada mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun.

Selain itu, ‘arterio venous malformation’ iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah. Ia biasa terjadi kepada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun.

“Bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas pula, mereka boleh mengalami keadaan ‘chronic subdurel hemetoma’ iaitu berlakunya pendarahan dalam kepala selepas terjatuh dan ia akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu. Kesan yang dialami oleh golongan ini ialah sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur,” katanya.

Menjelaskan lagi, katanya, apabila seseorang itu didapati pengsan dalam tempoh beberapa minit akibat terhantuk di kepala, ahli keluarga terdekat perlu memastikan adakah ia pengsan yang merunsingkan atau tidak kerana sangat berbahaya hingga boleh menyebabkan kematian.

“Pengsan boleh terjadi dengan dua sebab iaitu ‘cerebral concussion’ iaitu berlakunya gegaran pada otak tetapi tidak membabitkan kerosakan pada fungsi otak.

“Ia akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam selepas itu. Kesannya, seseorang itu akan pengsan sekurang-kurangnya beberapa minit hingga ke setengah jam, pening, sakit kepala, loya, muntah sekali dan mengantuk.

“Ia tidak memudaratkan dalam tempoh berkenaan melainkan kesan itu berpanjangan. Apabila itu berlaku, besar kemungkinan berlaku pendarahan dalam kepala,” katanya.

Dr Abdul Muin berkata, keadaan lebih teruk apabila individu itu berulang-ulang muntah, sakit kepala berterusan dan sangat mengantuk. Jika ia berterusan melebihi dalam tempoh enam jam sehingga membawa kepada kesan ‘ confusion’ iaitu meracau, besar kemungkinan terdapat pendarahan di dalam kepalanya.

“Sekiranya berlaku, segera lakukan pemeriksaan di klinik atau hospital. Doktor akan melakukan pemeriksaan di bahagian mata dan sekiranya terdapat pendarahan dalaman anak mata akan membengkak sebelah jika di suluh dengan lampu picit serta tidak reaktif disebabkan oleh tekanan tinggi di dalam otak,” katanya.

Tetapi untuk memastikan seseorang itu bebas sepenuhnya daripada pendarahan di dalam otak akibat keretakan adalah tidak mudah kerana besar kemungkinan boleh berlaku ‘delayed haemorrhage’ iaitu pendarahan yang berlaku selepas beberapa jam kecederaan kepala. Mereka akan mengalami kesan seperti sakit kepala dan loya sedikit, selepas itu kembali normal seperti biasa.

“Dalam tempoh beberapa jam selepas itu, mereka akan muntah-muntah dan berasa sangat mengantuk yang disebabkan oleh keretakan pada tulang tengkorak. Ini juga boleh membawa kepada kematian.

“Tengkorak kepala yang mengalami keretakan akan mengeluarkan sedikit demi sedikit darah pada peringkat awal. Tetapi dalam tempoh beberapa jam tanpa disedari, ia menjadi semakin besar dan otak akan menjadi mampat dan kematian akan berlaku,” katanya.

Selain itu, Dr Muin turut menjelaskan lebih membimbangkan jika perkara ini terjadi ke atas kanak-kanak kerana mereka mempunyai saluran darah yang lebih banyak.

Katanya, adalah lebih baik membawa anak kecil yang terjatuh untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dalam tempoh 24 jam kerana ia lebih selamat, tidak kira sama ada berlaku keretakan atau pun tidak.

“Kalau mereka muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya adalah lebih baik masukkan mereka ke hospital untuk pemerhatian dan jika makin teruk, lakukan imbasan untuk melihat sama ada berlaku pendarahan atau pun tidak. Sebenarnya, ramai kanak-kanak meninggal dunia berpunca daripada ini.

“Mana tidaknya, kanak-kanak tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kesakitan mereka. Ibu bapa pula tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesan akibat terjatuh dan terhantuk di kepala. Lihat saja anak mereka sudah diam dan tidur, mungkin sudah elok. Tetapi sebenarnya tidak, tahu-tahu saja anak mereka sudah meninggal dunia,” katanya.

Sebenarnya, walau apa pun langkah pencegahan yang dilakukan, jika hendak terjatuh di mana-mana saja boleh berlaku dan semuanya terpulang kepada mereka untuk lebih berhati-hati dan elakkan daripada terhantuk di kepala. Ambil langkah yang tepat supaya tidak kehilangan orang tersayang.

INFO: Risiko jatuh

  • Pantau gejala atau perkembangan mangsa selama 24 jam

  • Jika ada sebarang keganjilan seperti lupa apa yang menimpanya, mangsa perlu dibawa ke hospital bagi pemantauan dan rawatan berkaitan.

    Gejala/simptom perlu perhatian

  • Mangsa berulang-ulang muntah

  • Sakit kepala berterusan

  • Sangat mengantuk

  • Jika ia berterusan melebihi enam jam dan meracau, besar kemungkinan ada pendarahan dalam kepala.

    Impak jatuh:
    Kanak-kanak

  • Muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya

  • Perlu dibawa dan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemerhatian

  • Imbasan perlu dibuat untuk melihat sama ada berlaku pendarahan yang menjadi punca ramai kanak-kanak meninggal dunia.

    Individu berusia 20 hingga 30 tahun

  • 'Arterio venous malformation' iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah

    40 - 60 tahun

  • Salur darah dalam otak pecah.

  • Berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan.

    60 tahun ke atas

  • 'Chronic subdurel hemetoma' atau pendarahan dalam kepala selepas terjatuh.

  • Pendarahan itu akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu.

  • Antara simptomnya sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur.

  • Oleh Saadiah Ismail