Wednesday, May 25, 2011

PAS : BENTENG OMBAK PENYELAMAT UMMAH

( KENYATAAN MEDIA 25/05/2011 - MURSIDUL AM )

Pagi ini, saya sempat membelek beberapa akhbar yang menyiarkan laporan muka depan berkenaan pertandingan jawatan-jawatan utama di dalam Muktamar Agung PAS pada minggu hadapan. Calon-calon yang sudah mengesahkan menyertai pertandingan dan tidak kurang juga yang menarik diri dilaporkan secara meluas bahkan mendapat tempat di muka hadapan akhbar. Saya melihat laporan media massa yang meluas ini sebagai satu perkembangan yang menarik.

Bagi saya, ini menunjukkan PAS telah menjadi perhatian ramai. Mustahil jika PAS merupakan parti kecil yang bertaraf kampung dilaporkan secara besar-besaran melalui akhbar harian. Tentulah banyak mata yang sedang memerhati gerak langkah PAS pada hari ini. Samada mata memandang menanti pincangnya langkah atau cantiknya bunga silat, wallahua’lam. Apa yang penting, PAS bukan lagi menjadi parti yang tersisih dari arus politik perdana. Hal-hal dalaman ‘rumahtangga’ PAS pun dijadikan gosip panas sedangkan apa yang pasti siapa saja yang membarisi kepimpinan PAS, pasti semuanya akan tetap melawan UMNO / Barisan Nasional.

Hari ini, istilah ‘ulama’ dan ‘profesional’ dihidupkan kembali oleh akhbar dan media eletronik milik UMNO. Kononnya kedua-dua ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional di dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Jikapun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada UMNO/Barisan Nasional.

Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran. Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai. Ada pakar strategi seperti Khalid bin al-Walid, ada penyair seperti Hassan bin Thabit, ada ahli korporat seperti Abdul Rahman bin Auf dan tidak kurang juga ahli ilmu seperti Abdullah bin Abbas dan Abddullah bin Umar radhiallahu anhum. Bahkan jika diteliti sejarah para sahabat Rasulullah SAW yang menjadi khulafa selepas baginda, semuanya datang dari latar belakang yang berbeza.

Abu Bakar RA seorang sahabat yang terkenal dengan kehalusan hatinya, mudah menangis dan menitiskan air mata kerana Allah SWT, berbeza dengan Umar al-Khattab yang agak kental jiwanya, sesuai berdepan dengan kerajaan Rom dan Parsi di zamannya. Umar juga seorang tokoh pentadbir yang bijak menyesuaikan dasar dengan situasi semasa, lalu lahirlah pada hari ini perbincangan tentang Fiqhu Umar. Ia merupakan satu mata pelajaran yang saya sempat pelajari sewaktu berada di al-Azhar dahulu. Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS, kepimpinannya dari pelbagai latar belakang.

Profesional di dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama di dalam PAS itulah professional. Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular. Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai. Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah.

Alhamdulillah, di Kelantan saya berharap agar benteng ini terus kukuh mempertahankan kerajaan negeri yang ditegakkan di atas dasar Membangun Bersama Islam. Kita asuh generasi yang ada agar terus kekal dengan perjuangan Islam. Malangnya, usaha kita dituduh meracun pemikiran anak-anak. Hakikatnya, anak-anak muda inilah yang perlu dibentuk dengan pemikiran Islam ketika masih di bangku sekolah. Jika kita boleh mengajar mereka tentang kesedaran alam sekitar, menjaga kesihatan bahkan pendidikan seks pun dicadangkan diajar untuk pelajar sekolah, apa jijiknya jika pemikiran politik cara Islam diajar agar mereka dapat membezakan intan dan kaca?

Hairan saya, apabila akhbar-akhbar utama yang saban hari menyiarkan maklumat lucah di muka hadapan dan menayangkan cerita-cerita yang menjijikkan dibenarkan pula memasuki sekolah, bebas sahaja bertebaran di atas meja pusat-pusat sumber sekolah, sebaliknya apabila kita menjemput anak muda membaca al-Quran, kita dituduh meracun? Sungguh rabun mata hati mereka! Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.

Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah SWT. Insya-allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air. Sekian, wassalam.

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS

Bertarikh : 25 Mei 2011 / 21 Jamadil Akhir 1432

ADAT MAKAN MENGIKUT ISLAM

Oleh: Prof. Madya Asmak Ali

Makanan dan minuman adalah bahan asas yang paling penting di dalam kehidupan seharian seseorang manusia. Ia adalah suatu keperluan yang tidak dapat diabaikan kerana kesihatan dan kekuatan seseorang itu sebahagian besarnya bergantung kepada makanan dan minuman yang diambil selain ketentuan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan di dalam hadis baginda kedudukan orang yang sihat antaranya, sesiapa yang mempunyai pencarian yang cukup (rezeki yang banyak) dan mempunyai tahap kesihatan yang baik seolah-olah seseorang itu merasakan dunia ini dia yang punya. (riwayat Tirmizi)

Manusia memerlukan makanan disebabkan beberapa perkara faktor:

* Membekalkan haba dan tenaga bagi menjaga dan mengekalkan suhu badan, bagi tugas-tugas pernafasan dan aliran darah, membantu fungsi otot serta proses penggantian zat dalam badan (metabolisme badan).

* Membentuk tisu-tisu baru dalam tempoh pertumbuhan badan dan juga untuk membaiki tisu-tisu yang sudah reput atau mati dan rosak . Kanak-kanak memerlukan bekalan yang mencukupi agar proses pembesaran mereka tidak terbantut.

* Untuk mengawal aktiviti pelbagai organ tubuh badan terutamanya jantung.

Makanan

Walaupun makanan adalah keperluan utama tetapi pengambilannya tidaklah boleh sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini Rasulullah SAW yang menyatakan antara lainnya yang bermaksud: "Kami adalah suatu kaum yang tidak akan makan kecuali lapar dan apabila kamu makan tidak pula sampai kekenyangan".

Walaupun seseorang itu tidak mampu untuk mengikut cara pengambilan makan atau diet Rasulullah SAW secara total tetapi apa yang lebih penting makanlah sekadar yang perlu.

Rasulullah SAW memberi garis panduan makan dan minum untuk umat Islam antaranya adalah:

* Tidak terlalu kenyang. Kegemaran makan sampai padat adalah sesuatu yang amat dibimbangi nabi SAW ke atas umatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Yang paling saya takuti di antara hal-hal yang saya takuti adalah besar perutnya gendut kerana banyak makan, terus menerus tidur, kegemaran tidur yang melampaui batas, bersikap malas, lemah keyakinan, tidak mempunyai pendirian yang tegas dan tetap".

* Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar juga boleh mematahkan semangat berusaha atau bekerja.

* Isi perut hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagia iaitu 1/3 makan dan 1/3 untuk minum dan 1/3 lagi untuk pernafasan sehingga jiwa menjadi baik dan bersih.

Ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian dalam urusan makan dan minum iaitu:

* Perut besar yang selalu dipenuhi makanan itu adalah rumah penyakit, sedangkan menjaga diri sebelum sakit adalah pengubatan. Jika dihinggapi penyakit sukar untuk diubati dan memakan masa untuk sembuh. Oleh itu bersederhanalah dalam makan dan minum.

* Kekuatan tubuh badan bukan dengan sebab banyak makan tetapi dengan pengambilan makanan dan minuman yang mencukupi dan seimbang.

* Jikalau perut sudah penuh berisi dengan makanan maka sempitlah ruang untuk air dan juga udara. Sekiranya hal ini berlaku timbullah rasa malas, lesu dan lalai.

Keadaan ini amat membahayakan kesihatan kerana akhirnya seseorang itu akan sering sakit-sakit, fikiran tumpul serta hilang semangat untuk bekerja.

Apabila garis panduan ini dipatuhi atau diikuti dapatlah mengelakkan dari rasa sendat, mual, susah bernafas dan sebagainya selepas makan.

Setiap individu seharusnya mengetahui bahawa:

* Perut adalah rumah penyakit seseorang. Pepatah ada mengatakan "anda adalah apa yang anda makan".

* Kekuatan tubuh badan bukanlah disebabkan banyak makan tetapi berkaitan pengambilan makanan yang baik dan seimbang.

* Jika perut sudah dipenuhi dengan makanan dan minuman, maka ruang udara akan menjadi sempit dan berkurangan; ini akan menimbulkan rasa malas, lesu dan lalai.

Apabila terasa lapar hendaklah terus makan, jangan bertangguh kerana apabila ditangguh-tangguh akan menyebabkan seseorang itu akan mengambil makan yang berlebihan sehingga dua kali ganda.

Jika diikuti prosedur pengambilan makanan yang ditetapkan oleh Islam fenomena lebih berat badan dan obesiti tidak akan berlaku. Islam melarang seseorang terus tidur selepas makan sama ada pada siang hari atau malam. Setiap kalori atau tenaga daripada makanan hendaklah terus dibakar dengan melakukan pelbagai gerak kerja atau aktiviti.

Kalori yang tidak diguna atau dibakar akan disimpan di dalam badan dalam bentuk lemak dan terus berkumpul daripada masa ke semasa jika tidak dikawal.

Obesiti di kalangan kanak-kanak satu fenomena perlu ditangani dengan baik. Ada beberapa faktor penyebab fenomena ini berlaku. Antaranya:

* Kurang keprihatinan ibu bapa

Ibu bapa tidak mengambil berat tentang kepentingan makanan berkhasiat, sajikan makanan kepada keluarga asalkan kenyang, sedangkan Islam menggesa supaya seseorang itu memakan makanan yang halal lagi berkhasiat.

Sarapan pagi

Keluar rumah tanpa sarapan sama ada bagi kanak-kanak sekolah atau pekerja merupakan satu amalan yang tidak sihat, kecuali berpuasa. Keadaan ini akan menjejaskan kadar metabolisme.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Nestle (M) Berhad pada tahun 2001 ke atas 12,000 murid sekolah rendah (berumur tujuh hingga 12 tahun di seluruh negara) mendapati, lebih 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah tidak bersarapan.

Antara alasan paling kerap adalah tidak cukup masa (48 peratus) dan tidak berselera (30 peratus). Pilihan makanan sarapan paling lazim adalah roti, nasi lemak, nasi goreng dan kuih.

Didapati pengambilan makanan harian juga tidak teratur. Semakin ramai kanak-kanak gemar kudapan seperti ais krim, buah, bijirin sarapan pagi, kentang goreng, coklat dan makanan ringan.

Hasil kajian ini menunjukkan masih ada ibu bapa yang kurang ambil berat kepentingan bersarapan, sedangkan anak-anak sepatutnya makan sebelum mereka memulakan kelas.

* Mementingkan rasa makanan, mengenyangkan, murah berbanding khasiat

Trend hari ini makanan segera menjadi amalan dan kegemaran, sedangkan kandungan makanan yang dijual itu mengandungi kadar lemak, garam dan juga gula yang tinggi.

Ini amat membahayakan kesihatan. Namun makanan inilah yang banyak dijual di merata-rata tempat. Ini bermakna kanak-kanak dan murid-murid sudah disogok dengan makanan ini, lebih-lebih lagi dengan harga RM1 sudah dapat dibeli berbanding makanan lain.

Selain makanan segera yang digoreng, nasi lemak adalah makanan tumpuan pelajar. Dengan harga antara RM1.20 sehingga RM3 mereka sudah dapat membeli sebungkus nasi lemak.

Kajian mengenai khasiat nasi lemak perlu dibuat, kerana dulu masyarakat beranggapan minyak kelapa tidak elok untuk kesihatan sedangkan pada hari ini masyarakat pula mengambil minyak kelapa dara.

Pengaruh iklan

Iklan makanan segera ada di mana-mana sahaja dan yang paling berkesan adalah di televisyen.

Makanan dibungkus dengan gaya yang menarik untuk memancing kanak-kanak, ada yang gunakan kartun-kartun, gambar-gambar haiwan, kenderaan dan pelbagai lagi.

Anak-anak kecil yang menghabiskan banyak masa mereka di depan kaca televisyen sudah tentu akan terpengaruh dengan iklan-iklan yang disajikan kepada mereka. pihak berwajib patut memberi panduan cara pengambilan yang baik.

Memanjakan anak

Ada ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan menyogokkan makanan segera. Di rumah terdapat pelbagai pelbagai jenis makanan segera, snek kurang zat dan minuman sedia diminum dengan pelbagai jenama.

Kurang aktif

Kanak-kanak hari ini kurang aktif kerana mereka kurang ruang untuk bergerak, terkurung di dalam rumah kerana faktor keselamatan. Duduk di depan televisyen atau di depan komputer bermain play station berbekalkan makanan ringan atau jajan.

Tuesday, May 24, 2011

MALAYSIA DARUL ARAK

Fakta WHO ( Pertubuhan Kesihatan Sedunia )

Malaysia negara ke 10 dalam dunia kedaroh arak.
Belanja beli/minum arak RM 1500 Juta (1.5 B) setahun.

Thursday, May 19, 2011

USTAZ KASIM AHMAD DALAM KENANGAN - ALFATIHAH

Tokoh veteran yang juga pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kassim Ahmad telah kembali ke rahmatullah hari ini di rumahnya di Kuala Nerus kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Pemergian allahyarham suatu kehilangan sebutir permata seorang tokoh pejuang Islam dan cukup terasa buat PAS Terengganu yang kehilangan seorang yang begitu komited dengan perjuangan dan perkembangan PAS di bumi Terengganu dan Malaysia amnya.

Diberitakan, allahyarham meninggal dunia selepas menderita akibat penyakit angin ahmar.


Solat jenazah allahyarham dilaporkan akan diadakan selepas solat Asar (hari ini- 19/05/2011) di Masjid Taqwa, Batu Enam, Kuala Nerus.

Allahyarham ketika hayatnya pernah menyandang Pengerusi Tetap Dewan Ulamak PAS Pusat. Beliau juga pernah diamanahkan mengetuai PAS kawasan Marang, Terengganu apabila diberi tanggungjawab memegang jawatan Yang di Pertua PAS kawasan.

lE pAS Raasaa mengucapkan takziah buat keluarga si mati dan bacaan Al-Fatihah buat jenazah allahyarham, semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada, solihiin dan anbiya`, Insya Allah...Amin Ya Rabb.

Tuesday, May 10, 2011

TERIMA KASIH KERAJAAN NAJIB KERANA MENAIKKAN SUHU KEBENCIAN RAKYAT KEPADA BN

Mulai hari ini- selasa (10/5/2011) harga gula naik 20 sen lagi selepas beberapa hari lalu kerajaan menaikan harga minyak ron 97 kepada kurang 10 sen tiga ringgit.

Nampaknya kerajaan Najib lebih sayang kepada tokeh daripada rakyat jelata. Tokeh biar bertambah kaya , rakyat biar menderita.

Monday, May 09, 2011

PENGALAMAN MENDAFTAR ANAK DI TINGKATAN ENAM DISEBUAH SEKOLAH DI KUALA TERENGGANU

Hari ini 9/5/2011 (Isnin ) aku dan isteri serta dua orang anakku dan seorang kawanya meninggalkan rumah seawal 7.10 pagi untuk mendaftar ke tingkatan enam disebuah sekolah yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran melalui online. Hampir 1 jam 30 minit maka sampailah aku di sekolah yang berkenaan. Pendaftaran bermula jam 9.00 pagi.

Bila sampai masa , pendaftaran bermula. Anakku diberi tidak kurang daripada 3 jenis borang, ada borang asrama, borang pendaftaran sekolah , data maklumat murid , surat pertukaran yang jumlah helaiannya saya rasa lebih dari 10 helai. Maka isilah anakku akan kehendak sekolah tersebut. Tak nak isi tak boleh , kerana nak sekolah.

Aku dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa satu taklimat kepada ibubapa/murid akan diadakan selepas pendaftaran. Ibubapa menunggu sehinggalah selesai semua murid yang ditawarkan Ting.6.

Lebihkurang pukul 12.15 tengahari guru penolong kanan sekolah tersebut menyampaikan taklimat :

Diantara isi taklimat guru penolong kanan tersebut ialah seperti di bawah :
1. Kementerian Pelajaran telah menghantar nama pelajar Tingkatan 6 ke sekolah tersebut lebih dari 400 orang
2. Kelas tingkatan 6 rendah yang disediakan oleh sekolah tersebut ialah 3 kelas sahaja - lebihkurang 90 orang
3. Tempat di asrama yang mampu disediakan oleh sekolah ialah 40 orang sahaja.
4. Oleh kerana begitu sekali keadaannya,( tawar sangat ramai tetapi tempatnya sangat terhad ) maka guru tersebut mencadangkan mana-mana pelajar yang tidak dapat asrama supaya balik rumah dulu, tunggulah sehingga pihak sekolah menghubunginya semula.Katanya pelajar tidak akan dipotong nama sekiranya tidak hadir ke sekolah sehingga buka penggal akan datang, jangan takut katanya.

Maka baliklah kami bersama-sama dengan anak-anak kami dan juga alat untuk kegunaan di asrama.

Apa yang menjadi persoalan kami ibubapa ialah adakah Kementerian Pelajaran tidak tahu kapasiti sekolah tersebut (tempat belajar/Asrama )bagi menampung pelajar. Kami sangat kecewa. Kami beranggapan Kementerian Pelajaran tidak memandang perkara ini sebagai perkara penting.Sambil lewa sahaja. Kerja mudah.

Saya kasihan melihat guru-guru sekolah tersebut bertungkus lumus mendaftar pelajar baru.

Sunday, May 08, 2011

APA PANDANGAN ANDA

PRU Tidak Sepatutnya Diadakan Sehingga 2012 - Tun M

KOTA KINABALU: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pilihan raya umum tidak patut diadakan sehinggalah sekurang-kurangnya tahun 2012.

"Kerajaan mempunyai masa. Saya fikir ia boleh berlanjutan sehingga 2012," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai spekulasi pilihan raya umum ke-13 diadakan November tahun ini.

Dr Mahathir berkata ramai orang masih tidak memahami akan "keadaan Malaysia".

"Kita mesti menjelaskan kepada mereka akan keadaan unik ini supaya mereka boleh memilih calon yang baik. Tetapi kita masih mendapati puak pelampau yang masih tidak memahami demokrasi dan mengajukan permintaan yang bukan-bukan.

"Pada masa ini, mereka yang bersikap perkauman sedang memainkan isu-isu yang menjurus kepada perpecahan rakyat. Anda perlu mengurangkan peranan mereka yang bersifat perkauman dan ekstremis ini," katanya.

Dr Mahathir berkata terdapat sesetangah orang yang begitu fanatik dan membuta tuli menyokong pemimpin yang kurang baik.

"Orang ramai mestilah berupaya untuk melihat pemimpin yang kurang baik dan pemimpin yang baik. Itu sebabnya kenapa kita perlukan masa," katanya.

Namun begitu, kata beliau, jika keadaan sangat baik dan Barisan Nasional (BN) yakin menang, ketika itulah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum.

Dr Mahathir berkata beliau berpandangan sedemikian berikutan keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas.

Beliau berkata adalah wajar bagi kerajaan untuk tidak menamatkan tempoh mandatnya sehingga ke saat akhir sebagaimana yang dilakukan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Apabila kerajaan mengadakan pilihan raya setelah tempoh mandatnya, elemen kejutan pastinya hilang, kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir kemudian menyampaikan syarahan sempena mesyuarat tahunan kelapan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia. BERNAMA

TANGKAP BLOGGER YANG MEMAINKAN ISU AGAMA

Mengapalah pihak Polis sangat payah untuk menangkap blogger yang mengapi-ngapikan isu agama. utusan mALAYSIA MESTI ditarik permit kerana terus memainkan isu agama ini.

Sebelum rakyat Malaysia menjadi bubur maka tindakan tegas polis sangatlah penting.Tangkap dan beri amaran kepada semua yang terlibat - PAS dan UMNO

Saturday, May 07, 2011

BERJUMPA DAN BERBINCANGLAH WAHAI PEMIMPIN TERTINGGI PAKATAN rAKYAT

Banyak kecelaruan dalam PKR sekarang ini. Begitulah juga halnya dengan hubungan antara parti-parti dalam Pakatan. Ada saja buah dan butir yang menimbulkan kemusykilan dihati pengikut dan orang ramai.

BANDAR DUNGUN BELUM SIAP LAGI - JALAN MASIH BERLUBANG

Nampaknya amaran keras dari Mat Said (MB Terengganu ) sewaktu lawatannya ke Dungun 2 minggu lalu masih tak berubah. Jalan di bandar Dungun masih berlubang, masih menyakitkan kereta dan mata memandang , Bandar Dungun diabiki sudah lebih 3 tahun.

Jalan hanya 2 kilometer tetapi mengambil masa macam nak buat lebuh raya. Apa jenis kontrator ni. Pandaimu Mat Said berlakon, kononya beri amaran , pada hal hanya naksedapkan hati rakayat saja. Mung tunggu pilihanra ke 13. Tahulah langit tu tinggi rendah.

Thursday, May 05, 2011

SUDAH HEBOH SELURUH DUNIA , RUPANYA ESKAY MAIN TEKA TEKI SAJA.

Isu video seks yang dikatakan 'Anwar Ibrahim' rupanya Eskay nak minta pengesahan wartawan sahaja, adakah ianya DSAI. Habis ,yang kamu kata kamu bersamanya dalam rakaman itu. Sekarang kamu kata nak minta wartawan pula menganalpasti pelakon berkenaan.

Apa ke hal ni..... Sekali begitu sekali begini.

Sunday, May 01, 2011

ALHAMDULILLAH AKU SUDAH DAPAT GANTI KAMERA HILANG

Aku bersyukur kepada Allah kerana telah diberi ganti dengan kamera yang sma jenis dengan kamera yang hilang. Terima kasih sahabatku yang perihatin. Aku tak perlu sebut namanya, kerana beliau sendiri tidak mahu publisiti. Terima kasih.