Thursday, March 08, 2012

SSM DIPAKAI SEMULA

SBPA Batal, SSM Akan Ditambahbaik - Najib



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu akan dimansuhkan.
Sehubungan itu, 1.4 juta kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Najib, turut mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya khas yang dianggotai oleh semua pihak berkepentingan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia.
"Selaras dengan komitmen kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam ucapan belanjawan 2012 suka saya umumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM," katanya pada Perhimpunan Khas Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C kadarnya dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan.

Menurutnya, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.
Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.
"Kerajaan turut bersetuju Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.
"Kepada para guru jangan gundah gulana. Kerajaan amat komited terhadap kebajikan dan prihatin terhadap kebimbangan anda. Di sini saya mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip 'time-based' Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012," katanya.
Justeru, Najib berharap keputusan tersebut dapat meredakan ketidakpuasan hati yang wujud di kalangan penjawat awam di semua peringkat.
"Bagi isu-isu lain berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang saya umumkan.
"Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar keputusan yang dibuat ini mudah-mudahan menjadi penyelesaian terbaik bagi manfaat seluruh penjawat awam," katanya.
Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.
Menurutnya, SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.
"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," katanya.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.
Antara pelarasan gaji yang diumumkan mengikut gred-gred adalah seperti berikut:
1) Pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi kumpulan pengurusan dan profesional dan kumpulam pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54.
2) Pelarasan gaji sebanyak 9 peratus untuk gred utama dan gred khas C, B dan A.
3) Pelarasan gaji sebanyak 8 peratus untuk Turus III dan Turus II.
4) Pelarasan gaji sebanyak 7 peratus untuk Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

KEPUTUSAN STPM 2011

KUALA LUMPUR: Seramai 46,712 atau 92.19 peratus calon telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding 46,795 (92.5) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata 12 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding lapan calon pada tahun sebelumnya.

Pada umumnya, prestasi calon tahun 2011 adalah sama dengan tahun 2010, di mana Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) adalah sama, iaitu 2.22, katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di sini, Rabu.

Pada tahun 2011, seramai 298 calon (0.59 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 343 calon (0.68) pada tahun sebelumnya. Seramai 50,669 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas.

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 948 orang atau 12.64 peratus berbanding hanya 93 (6.14) pelajar luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran Sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah 357 orang (14.2) berbanding hanya 11 (12.64) luar bandar manakala bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 591 (11.85) berbanding hanya 82 (5.75) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu PNGK sekolah kerajaan pada tahun lalu ialah 2.29 berbanding 2.32 pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2011, sebanyak 52 buah sekolah mencapai PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 47 sekolah pada tahun sebelumnya dan 55 sekolah pada 2009.

Mohd Noh berkata daripada 12 calon yang mendapat Gred A dalam lima mata pelajaran, lima mencapai Gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil.

Katanya terdapat tiga calon istimewa, iaitu kategori cacat penglihatan yang memperoleh 1A, 1A- dan 2B, rabun (3A dan 1A-) dan spastik (3A dan 1A-), cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seorang pelajar terbaik dari luar bandar yang mendapat keputusan 4A dan 1A-.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati tiga mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Bahasa Arab (4.1 peratus), Sejarah (3.8) dan Perakaunan (3.68) berbanding pada tahun sebelumnya manakala empat mata pelajaran menurun prestasinya iaitu Syariah (-2.02), Pengajian Am (-3.4), Pengajian Perniagaan (-4.06) dan Further Mathematics T (-12.73) berbanding pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 16 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus.

Daripada segi penggunaan bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, Mohd Noh berkata 98.1 peratus calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun lalu berbanding 97.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) Akhir Tahun 2011 meningkat, iaitu sebanyak 46.8 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik, berbanding 41.81 peratus pada MUET Pertengahan Tahun 2011.

Mulai tahun ini, MPM menawarkan ujian MUET sebanyak tiga kali setahun iaitu sesi Mac, Julai dan November.

Pada majlis itu, Mohd Noh menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2011, masing-masing bagi MUET Pertengahan Tahun 2011 dan MUET Akhir Tahun 2011.

Mereka ialah Nicholas Tan Ooi Kiat dari SMK Cochrane, Kuala Lumpur dan Joy Lee Xing Pei dari SMK Tinggi Kluang, Johor, kedua-duanya memperoleh Band 6.

- BERNAMA