Tuesday, March 23, 2010

ANAK TIDAK SAH TARAF - APAKAH PENYELESAIANNYA


Dalam perkara ramainya anak luar nikah yang terlahir di Malaysia sekarang, pihak kerajaan tidak mengaku dia yang bersalah. Kerajaan menyalah ibubapa yang tidak pandai jaga anak, ibubapa hanya pandai hanya buat anak. 

Itulah pendapat kerajaan yang memerintah sekarang, habis-habis kerajaan mengatakan jangan tuding siapa bersalah, marilah kita selesai bersama. 

Saya ingin bertanya siapakah yang bertenggungjawab meluluskan lesen kelab malam,program hiburan yang merata sekarang,siapakah yang menggalakkan percampuran bebas lelaki wanita terutamanya dalam majlis sambutan malam tahun baru dan sebagainya.

Apakah kerajaan ingat anak-anak boleh dikurung dirumah, tidak boleh keluar. Dalam rumah ada programa tv yang penuh dengan hiburan dan seks.Siapa yang punya benda-benda ini? Adakah kerajaan fikir stesen tv itu kepunyaan ibubapa tadi. 

Ibubapa dan ajar dirumah , tapi bila keluar rumah orang lain pula yang ajar. Ibubapa hanya sedikit sahaja yang boleh dimainkan peranannya dalam hal ini. 

Apa pendapat anda semua.


17,303 anak luar nikah didaftar 2009  

Oleh Mohd Azis Ngah azis@bharian.com.my 2010/03/21

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam.

Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara.

Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.

Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah). “Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran. “Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN. “Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod. “Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Monday, March 08, 2010

MUFTA HARUSSANI ZAKARIA

Nik Aziz kesal sikap Harussani


KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sikap Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang menyebut namanya secara terbuka di khalayak ramai tanpa mengesahkan terlebih dulu apa yang didakwa itu benar atau tidak.

“Jika menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka, biarlah ada tuan punya badan. Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan.

“Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika,” katanya, semalam.

Beliau berkata, sama ada benar atau tidak kenyataan Harussani yang menyebut beliau datang ke rumahnya itu biarlah dinilai sendiri oleh rakyat kerana baginya perkara itu hanya melibatkan mereka berdua.

“Yang menjadi persoalan ialah tidakkah itu satu keterlibatan politik? Sedarkah beliau bahawa Kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didukung oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur?

“Dalam bahasa mudahnya, politik dan agama diasingkan. Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik.

“Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan Pas adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Harussani pada program Dialog Zaaba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lalu.

Harussani dilaporkan mendakwa keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu, walaupun secara dasarnya diperkenan Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan tertinggi parti itu.

Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya Harussani tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi 'ejen politik'.

“Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

“Saya kira, jika seorang mufti menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa),” katanya.

Komen :

1. En. Harussani Zakaria sebenarnya sudah lama menjadi ejen BN. Setiap perkara yang melibatkan PAS dia kan cepat-cepat memberi komen yang negatif. Cuba saudara tengok balik lembaran akhbar lama. Pukul 10 pagi pemimpin buat kenyataan , pukul 5 petang beliau terus buat komen. Cepat sungguh En. Harusani Zakaria memberi respon.

2. Apabila pemimpin UMNO /BN atau penguasa buat kenyataan yang bercanggah dengan Islam , beliau akan membisu sejuta kali. Mulutnya terkunci.

3. Dengan peristiwa yang berlaku pada program Dialog Zaaba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lalu , semakin jelas siapa sebenarnya En. Harussani Zakaria. Betul sungguh sebagaimana yang dikatakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu. En Harussani adalah ejen UMNO dan beliau tidak layak jadi mufti .

4. Apakah gamaknya yang dilihat oleh En Harussani ini yang UMNO/BN buat yang boleh diketagorikan sebagai memperjuangkan Islam dan menjaga kepentingan Melayu.

5. Apa yang terjadi kepada negara kita hari ini adalah air tangan UMNO/Perikatan/BN. Siapa yang menerima dasar jus sola yang memberi taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dan India ketika itu, kalau bukan UMNO yang ingin menjadi juara kemerdekaan Malaysia. Ini sebagai salah satu contoh "jasa UMNO". Setelah orang cina dan India menjadi warganegara , umno pula mempertikaikanya. Setelah 50 tahun merdeka baru diperkenalkan 1Malaysia,khusus untuk menarik balik sokongan orang Cina dan India yang telah melihat kepincangan dasar pemerintahan Malaysia. En Harussani terus menyokong UMNO/BN dan akhir-akhir ini menjadi juru cakap UMNO pula. Sungguh memalukan perangai seorang mufti.

6. Sepatutnya beliau tidaklah menjadi sedemikian rupa. MALUUUUUUU.

7. Saya sedang menunggu komen beliau berhubung kenyataan akhbar  yang dikeluarkan selepas pertemuan bekas model dengan penguasa Pahang yang telah dijatuhkan hukuman sebat kerana kesalahan minum arak .(Sila rujuk mStar online 3/3/2010 )

Tuesday, March 02, 2010

APA PENDAPAT ANDA

Guru Di Malaysia Belum Sedia Ajar Pendidikan Seks
 
KUALA LUMPUR: Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Katanya, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa guru-guru takut mereka mungkin di saman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Malaysia adalah sebuah negara dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar, katanya.
NUTP merupakan kesatuan guru yang terbesar di negara ini mewakili 160,000 guru, iaitu kira-kira separuh kerjaya perguruan. Lok berkata, kesatuan itu berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ketika ini, subjek itu diajar secara sambil lalu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah tanpa kursus yang dirangka dengan sempurna.

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru menunjukkan kumpulan itu menyokong usaha itu tetapi tidak pasti bentuk dan kandungan kursus itu.

Seorang pelajar, Jayaraman, 17, berkata: " Saya menyokong penuh tetapi saya tidak pasti apa dan bagaimana guru-guru akan mengajar kerana kita ada lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki dalam kelas dan kebanyakan guru adalah wanita".

Abdul Raof Bidin, 38, yang mempunyai dua anak yang bersekolah, merasakan adalah perlu untuk mengajar subjek itu, tetapi ia perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan dengan betul.
Sementara itu, M. Arumugam, 44, berkata, adalah lebih baik jika profesional dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor menyampaikan subjek itu kepada pelajar.
"Mungkin Kementerian Pelajaran boleh berunding dengan Kementerian Kesihatan dan mendapatkan beberapa kerjasama di mana anggotanya dapat memberikan guru-guru latihan ketika waktu kerja," katanya.
Betty Lee, 50, seorang guru dengan 24 tahun pengalaman, merasakan subjek itu lebih baik dilaksanakan oleh guru-guru yang merupakan ibu dan tahu mengendalikan subjek yang kompleks itu.
"Bukan semua guru boleh mengajar subjek itu, dan kementerian perlu teliti dalam memilih calon yang sesuai untuk kerja itu," katanya. - BERNAMA

Pandangan awal :
Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira beberapa perkara sebelum melaksanakan pendidikan seks disekolah ;

1. Apakah pendidikan seks ini sangat diperlukan pada masa sekarang kepada pelajar-pelajar. Apakah faedahnya kepada pelajar dari mata pelajaran ini. Dalam keadaan Pelajaran  Seks tidak ajar di sekolah , masyarakat pelajar kita  hari ini sudah 'sangat teruk' dengan perlakuan-perlakuan seks yang diluar batasan.

2. Adakah Kementerian Pelajaran beranggapan bahawa dengan adanya Pelajaran Seks di sekolah akan mengurangkan gejala yang tidak sihat di sekolah dan dalam masyarakat ? kalau inilah diantara rasionalnya maka saya mengatakan bahawa Kementerian Pelajaran sudah membuat satu andaian yang sangat salah. Saya harap KP tidaklah menjadi 'ejen' atau elemen baru yang menyumbang kepada kerosakan moral dikalangan masyarakat belia hari ini.

3. Saya mencadangkan supaya Kementerian Perlajaran menggunakan secara berkesan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral di sekolah-sekolah. Penekanan dan sentuhan mata pelajaran ini hendaklah diberi pendekatan baru yang bersungguh-sungguh. Mata pelajaran ini hendaklah dijadikan mata pelajaran 'yang wajib lulus' untuk mendapat sijil yang baik sebagaimana mata pelajaran bahasa , sains dan matematik.

4. Saya merasakan KP lupakan sahaja mata pelajaran seks ini untuk diajar disekolah-sekolah. Jangan kita terikut-ikut dengan masyarakat barat , dia buat kita nak buat. Masyarakat barat terutamnaya belia sudah pupus nilai-nilai akhlak yang diajar oleh agama mereka. Mereka lebih kepada kebebasan individu dalam melakukan sesuatu perkara. Intitusi keluarga telah punah di barat.

5. Saya menyokong  pendangan NUTP dalam perkara ini dengan persoalan iaitu bagaimana  cara kita nak katakan bahawa  guru-guru kita sudah bersedia mengajar subjek seks ini kepada pelajarnya. Saya sangat bimbang takut kalau-kalau guru sendiri yang akan menjadi sifu dalam perlakuan seks kepada pelajar. Berita-berita yang kita baca seringkali kita  menemui  ' perangai guru lelaki dengan murid perempuanya '

LUPAKAN SAJA PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH.