Tuesday, March 02, 2010

APA PENDAPAT ANDA

Guru Di Malaysia Belum Sedia Ajar Pendidikan Seks
 
KUALA LUMPUR: Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Katanya, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa guru-guru takut mereka mungkin di saman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Malaysia adalah sebuah negara dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar, katanya.
NUTP merupakan kesatuan guru yang terbesar di negara ini mewakili 160,000 guru, iaitu kira-kira separuh kerjaya perguruan. Lok berkata, kesatuan itu berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ketika ini, subjek itu diajar secara sambil lalu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah tanpa kursus yang dirangka dengan sempurna.

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru menunjukkan kumpulan itu menyokong usaha itu tetapi tidak pasti bentuk dan kandungan kursus itu.

Seorang pelajar, Jayaraman, 17, berkata: " Saya menyokong penuh tetapi saya tidak pasti apa dan bagaimana guru-guru akan mengajar kerana kita ada lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki dalam kelas dan kebanyakan guru adalah wanita".

Abdul Raof Bidin, 38, yang mempunyai dua anak yang bersekolah, merasakan adalah perlu untuk mengajar subjek itu, tetapi ia perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan dengan betul.
Sementara itu, M. Arumugam, 44, berkata, adalah lebih baik jika profesional dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor menyampaikan subjek itu kepada pelajar.
"Mungkin Kementerian Pelajaran boleh berunding dengan Kementerian Kesihatan dan mendapatkan beberapa kerjasama di mana anggotanya dapat memberikan guru-guru latihan ketika waktu kerja," katanya.
Betty Lee, 50, seorang guru dengan 24 tahun pengalaman, merasakan subjek itu lebih baik dilaksanakan oleh guru-guru yang merupakan ibu dan tahu mengendalikan subjek yang kompleks itu.
"Bukan semua guru boleh mengajar subjek itu, dan kementerian perlu teliti dalam memilih calon yang sesuai untuk kerja itu," katanya. - BERNAMA

Pandangan awal :
Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira beberapa perkara sebelum melaksanakan pendidikan seks disekolah ;

1. Apakah pendidikan seks ini sangat diperlukan pada masa sekarang kepada pelajar-pelajar. Apakah faedahnya kepada pelajar dari mata pelajaran ini. Dalam keadaan Pelajaran  Seks tidak ajar di sekolah , masyarakat pelajar kita  hari ini sudah 'sangat teruk' dengan perlakuan-perlakuan seks yang diluar batasan.

2. Adakah Kementerian Pelajaran beranggapan bahawa dengan adanya Pelajaran Seks di sekolah akan mengurangkan gejala yang tidak sihat di sekolah dan dalam masyarakat ? kalau inilah diantara rasionalnya maka saya mengatakan bahawa Kementerian Pelajaran sudah membuat satu andaian yang sangat salah. Saya harap KP tidaklah menjadi 'ejen' atau elemen baru yang menyumbang kepada kerosakan moral dikalangan masyarakat belia hari ini.

3. Saya mencadangkan supaya Kementerian Perlajaran menggunakan secara berkesan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral di sekolah-sekolah. Penekanan dan sentuhan mata pelajaran ini hendaklah diberi pendekatan baru yang bersungguh-sungguh. Mata pelajaran ini hendaklah dijadikan mata pelajaran 'yang wajib lulus' untuk mendapat sijil yang baik sebagaimana mata pelajaran bahasa , sains dan matematik.

4. Saya merasakan KP lupakan sahaja mata pelajaran seks ini untuk diajar disekolah-sekolah. Jangan kita terikut-ikut dengan masyarakat barat , dia buat kita nak buat. Masyarakat barat terutamnaya belia sudah pupus nilai-nilai akhlak yang diajar oleh agama mereka. Mereka lebih kepada kebebasan individu dalam melakukan sesuatu perkara. Intitusi keluarga telah punah di barat.

5. Saya menyokong  pendangan NUTP dalam perkara ini dengan persoalan iaitu bagaimana  cara kita nak katakan bahawa  guru-guru kita sudah bersedia mengajar subjek seks ini kepada pelajarnya. Saya sangat bimbang takut kalau-kalau guru sendiri yang akan menjadi sifu dalam perlakuan seks kepada pelajar. Berita-berita yang kita baca seringkali kita  menemui  ' perangai guru lelaki dengan murid perempuanya '

LUPAKAN SAJA PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH.

No comments:

Post a Comment