Sunday, January 10, 2010

SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM PERISTIWA YANG MENYAYAT HATI INI

Wanita bakar diri tak tahan anak liar

NIBONG TEBAL: Seorang ibu tujuh anak membakar diri dengan mencurah petrol ke badan dipercayai kecewa dengan anak perempuannya berusia 15 tahun yang didakwa degil dan sering tidak pulang ke rumah.

Dalam kejadian di depan rumah mangsa di Jalan Hutan Lipur, jam 12.30 tengah malam itu, Rossliana Rosli, 33, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan melecur 54 peratus badannya dari dahi hingga pusat.

Wanita yang tertekan dengan kelakuan anak perempuannya menjadi bualan penduduk nekad membakar diri disaksikan anak keempat, Mohd Shahrul Aidil, 11, dan beberapa keluarganya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap, dekat sini sebelum dipindahkan Hospital Pulau Pinang dan dirujuk ke Unit Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah.

Suaminya, Marzuki Jamaluddin, 39, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mereka mempunyai anak berusia antara dua hingga 17 tahun.

Keluarga itu adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebelum kejadian, Rossliana ke rumah ibunya, Hasnah Omar, 52, kerana anak perempuannya, Nur Hidayah, tidur di situ selepas merajuk ditampar beberapa hari lalu kerana tidak mendengar nasihat serta enggan belajar.

Mohd Shahrul yang tidur di rumah bapa saudaranya ketika kejadian, berkata apabila Rossliana memanggil Nur Hidayah supaya keluar dari rumah, lampu rumah itu terus dipadamkan menyebabkan ibunya hilang sabar.

Rossliana masuk ke rumah adiknya yang terletak bersebelahan lalu mengambil petrol dan menyalakan lilin sebelum keluar dan mencurahkan petrol ke badannya sambil mengugut untuk melakukan apa saja jika anaknya tidak keluar.

“Ibu juga memberi amaran jangan menghampirinya jika tidak mahu terbakar bersama-sama,” kata Mohd Shahrul yang memberanikan diri menepis lilin dipegang ibunya sehingga terjatuh dan padam sebelum wanita itu masuk semula ke rumah adik iparnya untuk menyalakan lilin dan terus membakar dirinya.
“Saya minta Pak Su (bapa saudara) menutup pintu bagi menghalang ibu masuk (untuk nyalakan lilin) tetapi tak sempat,” katanya.

Ahli keluarga wanita berkenaan dengan bantuan penduduk berjaya memadamkan api sebelum membawa mangsa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, mengesahkan polis menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk mengambil keterangan anak mangsa.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bercakap untuk melepaskan perasaan terhadap masalah yang dihadapi seorang anaknya yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat serta kerap tidak pulang ke rumah.

 ( Sumber Berita Harian 10/1/2010 )

RENUNGAN:
1. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Marzuki Jamaludin.
2. Saya harap saudara bersabar dan kembalilah kepada Allah.
3. Melihat kepada kejadian yang sungguh menyayat hati ini  saya menjadi sangat pilu dan hiba sehingga saya terfikir beberapa perkara , di antaranya ialah :

a. Mengapakah anak menjadi seperti ini. Sehingga tidak mendengar kata ibu.
b. Mengapa seorang ibu sanggup mengambil keputusan sedahsyat itu seolah-olah putus hubungan dengan Allah
c. Apakah peranan keluarga dalam membantu Rossliana Rosli untuk mengatasi masalah anaknya itu.
d. Adakah ini manifestasi daripada pengaruh media massa yang telah merasuki hati ibu dan anak keluarga ini.
e. Nampaknya  orang Melayu di Malaysia ini telah mulai jauh dari ajaran Islam. Banyak kejadian diakhir-akhir ini yang menggambar keadaan tersebut.

Kejadia-kejadian seperti ini sangat menggerunkan saya. Bagaimanakah nasib anak cucu kita pada masa hadapan. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment