Wednesday, February 02, 2011

APA SUDAH JADI DENGAN KERAJAAN MALAYSIA

Pelajar Malaysia telah mengalami berbagai masalah kerana Revolusi Di Mesir sekarang. Keadaan huruhara telah lebih dari 10 hari. Hari ini 1/2/2011( Lihat kenyataan Bernama di bawah )baru kerajaan nak fikir cara untuk bantu pelajar. Saya ada dua orang anak yang sedang belajar di Mesir, dalam keadaan sekarang adakah mudah bagi pelajar untuk pergi ke pelabuhan kapal laut atau ke lapangan terbang , untuk keluar rumah pun mereka takut diganasi oleh anasir yang tidak diingini.

Saya sangat sedih dengan tindakan kerajaan Malaysia hari ini dalam menangani nasib pelajar kita di Mesir. Di manakah rakyat didahulukan ? Kalau kerajaan lain yang lebih miskin dari Malaysia seperti Indonesia telah mengambil tindakan awal menyelamatkan pelajar mereka , tetapi Kerajaan Malaysia baru memikirkan cara untuk membantu pelajar kita di Mesir. Sungguh malang Malaysia mempunyai PM seperti Najib ini.

Kepada anakku Mohd Kamaruzaman dan Muhammad Luqman  dan semua pelajar Malaysia yang masih lagi berada di Mesir , bersabar, banyakan membaca Al Quran , berdoa kepada Allah , simpan dokumen-dokumen penting , ingatlah ini merupakan taqdir dari Allah. Baba dan Mama serta adik-adik hanya mampu berdoa untuk keselamatan anakanda berdua dan juga seluruh pelajar di Mesir. YA ALLAH BERILAH KEKUATAN KEPADA MEREKA DALAM MENGHADAPI KEADAAN YANG GETIR ITU. ALLAHUAKBAR.


Malaysia timbang guna kapal TLDM bantu pelajar dari Mesir

LABIS, 1 Feb — Kerajaan sedang menimbang menggunakan kapal serba guna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah, untuk operasi pemindahan pelajar-pelajar Malaysia yang kini berada di Mesir.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kapal terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

“Kita mempunyai pelan untuk menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia termasuk kapal TLDM yang sedang meronda di Teluk Aden, untuk membawa mereka keluar daripada Mesir,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan keluarga pelajar dan rakyat Malaysia yang kini berada di Mesir, berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah itu berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.

Kapal serba guna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terlibat dalam operasi antilanun di Teluk Aden.

Ketika ini, terdapat lebih daripada 10,000 pelajar Malaysia berada di Mesir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telahpun menghantar rombongan pegawai kanan ke Mesir untuk meninjau keadaan terkini di negara terbabit dan memastikan rakyat Malaysia selamat.

Mengenai penggunaan pesawat kargo C-130 Hercules bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir, beliau berkata ia tidak praktikal kerana pesawat kargo terbabit hanya mampu membawa 40 penumpang.

“Selain itu, kita juga tidak tahu (mengenai) krew yang bertugas di lapangan terbang Mesir itu,” katanya.

Najib berkata kerajaan memahami kebimbangan keluarga pelajar berkenaan tetapi kerajaan tidak boleh bertindak terburu-buru.

“Saya memahami perasaan ibu bapa yang risau (terhadap keselamatan anak mereka),” kata beliau. — Bernama

No comments:

Post a Comment