Tuesday, January 10, 2012


TIDAK BERSALAH: Datuk Seri Anwar melambaikan tangan ke arah para penyokongnya selepas dibebaskan mahkamah daripada pertuduhan liwat yang dikenakan ke atasnya. -- Foto AFP
Mudah cetak
E-mel

10 Jan 2012

LUAR NEGARA

Anwar dibebaskan daripada tuduhan liwat bekas pembantu

Oleh
Darwis Said
Dari Kuala Lumpur: KETUA pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lalu. Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan atas alasan tiada keterangan kukuh yang boleh menyokong dakwaan pihak pengadu kes. Datuk Seri Anwar, 64 tahun, didakwa meliwat Encik Mohd Saiful, di sebuah kondominium di Damansara pada Jun 2008 dan beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, bagaimanapun, menafikan dengan keras dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu 'konspirasi politik'. 'Selepas menelaah hujahan pembela dan bukti-bukti sepenuhnya, pihak mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa bukti DNA tidak diusik. Adalah tidak selamat untuk hanya bergantung kepada bukti DNA. Tidak ada sokongan (ke atas kes),' jelas Datuk Mohd Zabidin. 'Tanpa bukti lain, selain keterangan SP1 (Mohd Saiful) tentang adanya penembusan... (maka) mahkamah keberatan untuk mendakwa berdasarkan bukti Mohd Saiful. 'Oleh itu, pihak tertuduh dibebaskan.' Keputusan tersebut disambut dengan laungan 'Allahuakbar' dan linangan air mata di kalangan para pemimpin kanan parti pembangkang dan anggota keluarga tertuduh yang datang memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar dan memenuhi kamar mahkamah yang penuh sesak itu. Sekitar 7,000 penyokong Datuk Seri Anwar, dengan sesetengah daripada mereka telah berada di kawasan meletak kereta yang dikhaskan oleh pasukan polis di luar mahkamah sejak 4 pagi lagi, turut bersorak dalam keadaan hujan sambil melaungkan slogan, 'Hidup rakyat. Hidup! Hidup!' dan 'Reformasi' apabila mendengar khabar tentang keputusan hakim itu. Semasa dikerumuni para wartawan setempat dan antarabangsa di luar mahkamah bagi mendapatkan ulasannya, Datuk Seri Anwar berkata beliau dibebaskan oleh mahkamah kerana tidak bersalah. 'Alhamdulillah, keadilan sudah terbukti, ia satu kejutan yang menyenangkan. Sekarang kita perlu beri tumpuan kepada pilihan raya umum,' kata beliau, sebelum berangkat bersama rombongan penyokongnya untuk mengerjakan solat syukur di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di depan kompleks mahkamah itu. Encik Mohd Saiful, dalam akaun Twitternya, pula berkata beliau akan terus tenang, berdoa dan sabar menerima keputusan itu. 'Tidak di dunia, namun di (padang) mahsyar (akhirat) pasti. (Saya) reda dengan ketentuan-Nya. Akan terus tenang, doa, istiqamah dan sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi (Ya Allah engkaulah matlamatku dan aku mencari keredaan-Mu),' katanya. Encik Mohd Saiful tidak hadir semasa mahkamah membuat keputusan itu. Kerajaan Malaysia, dalam kenyataannya semalam, berkata pembebasan Datuk Seri Anwar yang memeranjatkan itu adalah bukti bahawa mahkamah-mahkamah di negara itu adalah bebas daripada manipulasi politik. 'Malaysia mempunyai kehakiman bebas dan keputusan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak mempengaruhi keputusan hakim,' lapor agensi berita AFP, yang memetik Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Rais Yatim, sebagai berkata.  Sementara itu, tiga letupan kecil berlaku di luar kompleks mahkamah Jalan Duta sejurus selepas keputusan kes dibacakan, mencederakan lima orang.- Berita Harian Singapura

No comments:

Post a Comment